Tuesday, February 22, 2011

~oMbAk UjiAn~


Ombak dan badai sekadar pukulan cemeti untuk menguji sang hamba adakah kepedihan dan kesakitan diterima dengan senyuman kegembiraan,hati yang penuh ketenangan dan jiwa yang tulus dengan keredhaan.Hamba yang tenggelam dalam kecintaan dan pengabdian tidak melihat cemeti pada jiwanya bahkan segala yang datang umpama belaian dan usapan sang Kekasih yang tidak mahu jauh dari dakapanNya.Walau terasa perit pada zahirnya,namun dia yakin Kekasih rindu mendengarkan rintihannya di kala malam menjelang. ombak kehidupan tanda Dia sayang Namun,bagaimana mahu memahami hakikat ini jika jiwa diselubungi ammarah,pandangan jadi kabur,cemeti dianggap tanda ketidak adilan,putus asa terhadap rahmat Tuhan,lantas timbul sangkaan yang bukan-bukan pada Sang Pencipta. Bahawa sesungguhnya,ibu yang keperitan melahirkan insan ke dunia malah menyayangi anaknya,apalagi Tuhan yang menciptakan?dari tiada kepada ada,dari setitis air yang hina kepada darah,kemudian maju menjadi daging,diciptakan tulang temulang dan dihias dengan sifat yang indah.Lalu ditetapkan takdir untuknya,dengan namaNya ar Rahman ar Rahim,lahirlah makhluk bernama insan di bumiNya. Duhai diri,alangkah ruginya perjalanan ini andai engkau buta pada kasihNya,sedangkan Dia bersamamu dalam setiap detik yang berlalu,dalam setiap hembus nafasmu,dalam setiap alir darahmu.Mengapa harus lari dari cintaNya?Mengapa berpaling dari mendekatiNya?Mengapa perhatian manusia yang dikejarkan,mengapa sanjungan dari manusia yang dibutuhkan padahal di sana ada Dia yang tak pernah meninggalkan mu?Diamlah sejenak dan fikirlah,siapakah yang pernah ada di sisimu tanpa pernah meninggalkanmu walau sehari,yang ada di saat kau butuh kekuatan,di saat kau rebah dalam kegagalan,di saat kau tenggelam dalam lumpur kepahitan malah sentiasa ada untuk berkongsi kegembiraan waktu puncak kejayaan berjaya kau tawan,ketika bahagia mengulit perasaan?bertemukah kau siapa orangnya?pastinya tidak kerana yang ada hanya Dia,Dia yang tak pernah meninggalkanmu,Dia yang tak pernah melupakanmu,Dia yang sentiasa menemanimu walau kau hanyut dari jalannya,meskipun kau lalai dari mengingatinya kerana tertipu dengan kemanisan dunia yang penuh kepalsuan. Ayuh diri,kembali padaNya,pulang ke dalam dakapan Kasih yang Abadi,tenanglah hati yang sedang resah,berbahagialah jiwa yang kesepian,cerialah diri yang kekosongan,kerana Dia sedang menunggu,sentiasa terbuka menanti kepulangan mu. . “Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

nota:edit dari sajak karangan Hj Ibrahim Mohamad(Aspirasi Akademi Damai)

No comments:

Post a Comment