Sunday, May 8, 2011

~Aku Mahu Pakai Purdah~



Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.





Alhamdulillah, segala puji hanya untukNya dan selawat serta salam adalah untuk Rasulullah, ahli bayt, para sahabat baginda dan tabi’in semuanya. Semoga Allah beri ganjaran setimpal dengan usaha mereka menyampaikan ilmu Allah di muka bumi ini.



Alhamdulillah, antara perkara di luar jangkaan saya dalam memasuki era alaf baru ini ialah masih ramai anak-anak gadis atau wanita yang berminat dengan purdah dan berkeinginan pula memakainya.



Selepas seorang demi seorang sahabat-sahabat saya menanggalkan purdah mereka, menyimpan jubah-jubah mereka, menyingkatkan tudung-tudung mereka bahkan me’make-up’kan wajah-wajah mereka dengan pelbagai rasional dan alasan, saya jangka saya akan bertambah sepi di dunia yang serba mencapah pelbagai tahap kemajuan ini.



Saya sangka saya akan semakin tersisih dalam masyarakat Islam saya sendiri. Namun Allah memberi keterangan yang nyata kepada saya, jika sesuatu itu secara fitrah dan syariat memang ada hujjah di sisiNya, tiada siapa yang dapat menghapuskan amalan tersebut dari kalangan wanita yang mahu memilih purdah sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepadaNya.



Sering juga saya mendapat soalan-soalan dari kaum wanita yang bertanyakan tentang purdah, tentang hasrat untuk memakainya dan cara bermuamalah dengan masyarakat serta kerjaya apabila berniqab.



Oleh kerana kita berada di zaman banyak restoran dan kedai-kedai makan, maka antara soalan yang dikemukakan ialah bagaimana cara wanita berpurdah mahu makan di tempat umum? Jika di Arab Saudi atau setengah restoran di Jordan, mungkin tiada masalah bagi wanita berniqab kerana di sana terdapat restoran yang mengasingkan ruang makan muslimin, muslimah dan keluarga.



Sebelum saya memberi respon tentang persoalan-persoalan di atas, sukalah saya berkongsi sedikit info di bawah bagi mereka yang berminat memakai purdah. Ia adalah hasil kajian Harlina dan sahabat-sahabatnya di KUIS.



Sudah tentu tulisan di bawah kelihatan tidak sempurna namun ia mampu menyempurnakan lagi perbahasan sedia ada mengenai niqab. Oleh itu, dinasihatkan agar membaca juga perbahasan-perbahasan lain yang dinukilkan di dalam kitab-kitab salaf, buku-buku moden dan juga web serta blog.



Walaubagaimana pun, pandangan Harlina dan sahabatnya di bawah tidak mewakili pandangan saya secara peribadi. Oleh sebab itu, sehingga saat saya menulis ini, saya konsisten dengan jawapan-jawapan yang pernah diberikan di ruang komen.



Seperkara lagi harus disedari, walaupun Harlina dan sahabat-sahabatnya berpegang kepada hukum wajib, namun mereka tidak menolak pandangan sebahagian yang berpegang kepada hukum sunat berpurdah. Jadi hukum memakai purdah tetap terdapat khilaf pandangan mengenainya.



Berdasarkan pengamatan peribadi saya, hukum memakai purdah sama ada wajib atau sunat berlandaskan nas-nas al-Quran dan hadis. Jadi saya tidak dapati wujudnya ruang kepada mana-mana individu, organisasi atau kerajaan untuk menilai (judge) pemakai purdah sebagai ekstrim, syadid, kolot, ketinggalan zaman dan seumpamanya.





Bila kita memahami asas dan kaedah-kaedah matematik dengan baik, insya Allah kita mampu menjawab apa jua bentuk soalan yang dikemukakan. Begitu juga dengan hukum memakai niqab, kita perlu memahami prinsip asas menutup aurat dan juga perbahasan-perbahasan pada perkara khilaf dengan baik, barulah kita akan merasa mudah melaksanakannya walau apa pun cabaran yang mendatang.



Selain prinsip mengenai hijab itu sendiri, kita berkewajiban memahami prinsip-prinsip Islam yang asas pada ilmu aqidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga struktur ilmu Islam ini jika difahami dengan baik, akan membantu kita menjadi muslim yang baik bukan sahaja pada penampilan, bahkan pada perkara yang menjadi akar dan buah pohon Islam itu sendiri yakni aqidah dan akhlak. Justeru itulah Allah berkata di dalam surah al-A’raaf ayat 26,



Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu serta pakaian perhiasan dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).



Insya Allah, semoga Allah kuatkan dan teguhkan keimanan kita dalam menjalankan syariat-Nya...

Wassalam.

::sumber>>http://www.facebook.com/notes/indahnya-berpurdah/aku-mahu-pakai-purdah/216144898415139 ::

No comments:

Post a Comment